IsI dan KuLiT

Apapun di dalam dunia ini, dan kehidupan kita, ianya ibarat isi dan kulit di mana saling memerlukan. Jadilah seperti kulit yang melindungi sang isi yang baik, manis, cantik dan sang isi yang menggembirakan semua orang......

Thursday, December 29, 2011

Diamond CutSolitaire (Excellent Cut)

diamond cut solitaire Diamond Cut Solitaire Diamond Cut Solitaire – Shape Types
Diamond Cut Solitaire. Diamonds have the glitter to attract women and so are the engagement rings as they symbolize the eternal love the man and his woman have for each other. A diamond cut solitaire gives the glamour and luster to the deep feeling of love.
When selecting the diamond cut solitaire, a couple should be more carefully, there are so many aspects that have to be considered in order to buy an affordable diamond cut solitaire. Shape is one that have to be considered, beautiful shape will make your diamond perfect. Nowadays, the most popular diamond is round brilliant diamonds, its very popular as a wedding or engagement ring because the shape is luminous and attractive.The another perfect shape for diamond is heart shape diamond cut solitaire engagement ring or a marquise shape. Emerald cut diamonds shape is a great green diamond but If you like square shapes princess cut diamond may suit you.

Tuesday, December 27, 2011

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)

Hari ni setelah selesai semua urusan membayar bil, repair kasut untuk praktikum,tindikkan anak sulung buat kali kedua, kemudian aku meneruskan perancangan untuk membawa anak-anak ke Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Shah Alam.

Terlintas di fikiran untuk meng "expose" anak-anak dengan dunia pembacaan walau pun anak-anak aku masih belum pandai membaca, sekadar mengenal warna dan gambar.Tapi, sebagai ibu, sebagai guru, asalkan ada minat terhadap buku atau sebarang bahan bacaan, itu sudah memadai bagi anak-anak yang masih muda.

Aku pun memandu ke perpustakaan yang bersebelahan muzium negeri.Setelah kereta di parkir, aku dan anak-anak berjalan menuju ke perpustakaan. Setibanya di perkarangan perpustakaan aku lihat ada kerja-kerja pembaikan di situ. Aku terlihat seorang "mak guard" di situ lalu ku tanyakanperpustakaan masih bukakah? mak guard tu beritahu perpustakaan dah berpindah di kawasan kelab golf selangor. Dalam hati aku,bila pulak la pindahnya....Nampak sangat aku dah bertahun-tahun tak menjejak perpustakaan negeri ni. Aku boleh jadi tergerak nak pergi kali ni kerana sebelum ni aku terbaca beberapa artikel di internet tentang kecanggihan yang digunakan di perpustakaan negeri sekarang ini.

Setelah mendapat maklumat serba sedikit daripada mak guard tadi,aku memandu pula ke seksyen 13 Shah Alam yang terkenal dengan GIANTnya yang besar(headquarters) di situ. Tapi, tidaklah sampai ke GIANT tu sebab berbeza haluan. Haluan aku ialah ke Kelab Golf Selangor kerana di situlah tersergamnya perpustakaan negeri yang baru yang telah dirasmikan oleh Tuanku Sultan Selangor. Untuk menerangkan keadaan perpustakaan yang baru ini yang bagi aku amat gah dan aku kagum, jom lihat gambar-gambar yang sempat aku abadikan dalam kamera kesayangan aku.




Selesa. Kondusif. Tenang.Mudah carian.



Tarikan kepada pengunjung.LCD dipaparkandariatas siling.



Konsep dalam taman.Sungguh ceria.

Mini teater di mana baka-bakat anak-anak ditonjolkan dan diasah.

Perisian dan alat terkini dengan kecanggihan semasa.





Pandangan dari dalam perpustakaan yang mellihatkan Masjid Negeri Selangor.

Tasik yang tenang di belakang perpustakaan. Di tingkat bawah ini juga disediakan kemudahan gymnasium juga surah untuk bersolat.

Setiap perkara pasti ada hikmahnya

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat
menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke
dalam hutan berhampiran. Orang kampung yang tahu akan hal tersebut
berkata kepada Tok Penghulu, "Kami simpati atas kehilangan kuda
kesayangan Tok. Tentu Tok sedih.."

Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, "Tak apalah. Mesti ada
hikmahnya."

"Apa hikmahnya Tok?"

"Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya."

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula
dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum
kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara
tiba-tiba. Sudah rezekinya.

"Tok bertuahlah. Untung." Begitulah kata mereka.

Tok Penghulu sebaliknya berkata, "Belum tentu lagi. Tapi Tok yakin
tentu ada hikmahnya."

Anak lelaki Tok penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap
hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar
yang lain. Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu jatuh
daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.

Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka
datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.

" Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala
pula," kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata, "Ini ujian Allah. Tentu ada
hikmahnya."

Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai
atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja
mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara
memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua
tentera.

Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan
anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua
tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.

"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah
tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki
Tok Penghulu.

Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu
mereka, "Mesti ada hikmahnya."

Pengajaran:

Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman
sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima
yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan
disebaliknya daripada Allah.

Saturday, December 10, 2011

Hati...

Mata...
Telah tertancap ke suatu arah,
Di mana hati telah berdebar,
akal meligat mencari alasan,
apakah istimewanya itu,
sedangkan tak mampu ku milikinya,
Sedang mengapa ia hadir?

Perjalanan mencari hala,
Terlupa sesaat akan sesuatu,
Namun hati masih lagi berdetik,
bagaimana kah keadannya itu?

Tanpa diduga,
mata,
kembali tertancap kepadanya,
debaran semakin hebat,
apakah mungkin berlaku sesuatu,
tanpa dijangka.

Hati mulai berkata sesuatu,
mengapakah debaran ini hadir,
tatkala bahagia mula menyapa,
tidakkah nanti ia punah?

Wahai mata,
wahai hati,
wahai akal,
bersatulah dikau dalam mencari cahaya iman,
moga langkahku tidak sumbang,
agar perjalananku ini lancar,

Di saat kejatuhan nanti,
aku terus gagah,
berbekalkan sisa keteguhan,
bertahun dibina,
dan adakah ia akan kembali,
bersamaku.

Tuesday, November 22, 2011

Fasa II Praktikum

Sudah bermula kehidupan ku sebagai pelajar semula. Sudah 2 hari berkampung di maktab ni.Sudah 2 esaimen juuga diberikan oleh pensyarah yang berbeza. Bunyinya sedikit, tapi hakikatnya 2 esaimen bagaikan berbulan untuk menyiapkannya seperti buat master pulak.Nasib tak bertahun. Taklimat praktikum juga telah diperdengarkan dan diperlihatkan skop-skop yang perlu diberi perhatian malam tadi oleh Encik Kamaruddin Yahaya.

Seperti biasa rakan-rakan ku akan berbunyi terutama sekali tentang pengurusan kolej, yuran penginapan dan juga jadual kuliah.Pihak pengurusan kolej kurang bersistematik dan tidak bersedia dengan kemasukan guru pelatih kdc.Yuran pula ditetapkan mengikut cuti dan bukan mengikut hari kuliah.Makanya, ramai lah yang merungut pihak pengurusan HEP tidak peka dan menganiaya guru pelatih dengan mengenakan bayaran melebihi daripada yang sepatutnya. Guru pelatih tidak ada gaji, hanya elaun. Bila bersuara, dikenakan tindakan disiplin,tatatertib.Dihalang daripada menduduki peperiksaan. Sungguh tidak adil. Sebagai orang yang profesional, pihak HEP perlu lebih bertimbangrasa, bukan mengugut dan menindas. Gunakan budi bicara dan bukan menunjuk kuasa veto yang ada.

Walaubagaimana pun, aku sendiri secara peribadi,malas dah nak berbalah dengan ketua HEP. Semester lepas aku diugut hanya kerana enggan membayar premium insurans berkelompok sedangkan aku tidak mendapat manfaat yang sepatutnya.Dan secara terus terang aku memang berkira dengan wang ringgit kerana aku memang tidak suka buang duit atau melabur pada sesuatu yang aku tidak nampak pulangannya. Duit aku ialah usaha kerja keras aku dan aku berhak ke atas wang ringgit aku. Aku mengalah hanya kerana aku memikirkan aku hampir di penghujung pembelajaran dan aku tidak mahu ada masalah dengan graduasi aku nanti. Aku perlu memikirkan perjalanan aku yang lebih jauh lagi dan aku perlu merealisasikan matlamat aku dan ada dakwah yang perlu aku bawa dan sebarkan dan bukan hanya duduk di takuk yang sama.

Semoga perjalanan pembelajaran ini berterusan dengan lancar dan dengan berlapang dada untuk menjadikannya lebih ceria dan bermanfaat. Bukan sekadar untuk diriku tapi semua makhluk Allah di bumi ini.

Saturday, November 12, 2011

Inikah S.A.Y.A.N.G?

Kau katakan kau sayang pada ku...Kau katakan juga kau menghormatiku...Tapi mengapakah tega kau meninggikan suaramu terhadapku?Seringkali juga kau membantah nasihat dan menidakkan pendapatku?Tika kau sulit kau mencari aku.Tika kau senang kau berpaling daripadaku.Ku mendengar dengan teliti dan prihatin tika kau berbicara denganku dan meluahkan kesedihan dan kegembiraanmu.Kerana aku tidak mahu menambah beban hatimu.Kerana aku tidak mahu kau berputus harap.Kerana aku tidak mahu kau merasa rendah diri dengan kelemahan dan kekuranganmu.Inikah yang kau maksudkan dengan sayang?Bukankah ini wajar ku sebutkan sbg sandiwara dan dusta yg nyata?adakah sayang mu itu hanya layak tika aku jauh dari mu dan tika kau dilanda kesempitan?Di manakah keikhlasan hatimu? Di manakah letaknya nilai manusiawi mu?Jika tidak mampu dirimu menyayangi diriku, cukuplah sekadar kamu menyayangi dirimu sendiri.Jika kau tidak mahu menghormatiku cukuplah dengan menghormati dirimu sendiri.Andai kau tega mempermainkan orang lain,jgn pula kau letakkan dirimu pada ruang yang mana org lain juga bisa memperkotak-katikkan dirimu dan juga harga dirimu.Buatlah sesuatu dengan niat LILLAHI TA'ALA..bukan kerana aku atau pun untuk menunjuk2 di hadapan manusia lain yang tidak nampak nilai mu yang sebenar di sebalik hijab.

Hati ku pedih mengenangkan dikau di saat aku berseorangan.Ku pejamkan mata untuk mengelak berbicara lagi denganmu.Agar kau tahu aku tidak bersedia lagi.Aku memendam rasa demi keteguhanmu.Ku perhatikan mu dengan lirikan mata tanpa suara.Aku menangis di belakangmu tatkala kau lena dengan lelahmu.Di manakah ketaatan mu terhadapku? Acapkali aku membujuk mu tapi ianya sekadar mainan mu. Aku sedih. Aku sedih. Aku sedih. Namun ku tabahkan jua hati demi sebuah amanah. Aku kuatkan jiwa ku dengan menyebut namaNya di malam pekat sunyi. Agar aku tidak tersasar melampiaskan marah ku terhadapmu yang meniti dunia.Aku berkeringat demi kesenangan mu agar kau tidak tersia dengan penghidupanmu dan agar kau tidak dimalukan oleh sainganmu.

Siapakah aku di matamu? Aku ini bukan boneka. Aku juga punya maruah. Aku bukan minta disembah. Aku juga bukan minta diangkat dijulang sepertinya Raja. Aku juga hambaNYA. Kau juga hambaNYA. Tapi ....bukalah mata mu..bukalah hatimu...pandanglah dirimu dan pandanglah aku tika kau berdepan berbicara denganku. Telah ku ajarkan segala ilmu sebagai bekalan.Tidakkah kau ambil sebagai pelajaran? Di manakah kurangnya? Tidak jelaskah penerangan ku tatkala ku menunjukimu?

Bertaubatllah!!! INsaflah!!!Allah itu limpah dengan maghfirah. DIA juga Maha Mendengar. Maha Melihat. Maha Luas Limpah Rahmat.Mintalah!! Tadahlah tanganmu..sujudlah selagi ada waktu.Jangan kau turuti nafsu duniamu. Kesempatan hanya sekali sebelum kesempitan mengambil ruang.  

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia dalam keadaan buta. Ia berkata:"Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta padahal dahulu aku melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan." (Toha: 124-126)

Janganlah kau mencabar kesabaranku, nescaya akan datang murka Allah. Kembalilah kepada fitrah mu. Jangan nanti sehingga Allah membuka aib mu kerana kau membuka aib ku. Dan sesungguhnya bersederhanalah, jangan melampau batas.




~By Aniezmahabbah~
@ Kuala Kangsar, Perak
16 zulhijjah 1432H

Saturday, November 5, 2011

Di saat namaMu disebut...

Di saat namaMu disebut-sebut,
Aku sayu, menitis airmata di pelipisku,
Mereka menyanyi-nyanyikan, mereka melagu-lagukan,
kebesaranMu.

Di saat namaMu disebut,
berdebar hatiku,
berdegup kencang jantungku,
kerana,
kekuasaanMu.

Di saat namaMu disebut,
ku pandang terus menembusi ruang,
ku lihat kananku,
ku lihat kiriku,
ku mendongak ke atas,
ku lihat keagunganMu.

Di saat namaMu disebut,
ku lihat diriku,
resah hatiku,
dosa dan noda terpalit,
meruntun jiwa,
berbisik minta diampuni,
ku lihat Sami'an Mu.

Di saat namaMu disebut,
ku pejam mata,
ku tahan nafasku,
ku rasakan Ar-Rahman dan Ar-Rahim Mu.

Di saat namaMu disebut,
ku imbas perjalanan dulu,
kini,
aku ingkar, aku degil,
berjalan penuh sombong,
mendabik dada di bumi fana ini,
namun,
ku menerima ihsanMu.

Di saat namaMu disebut,
kini,
aku tunduk malu,
sujud dengan namaMu,
mohon keampunan,
pepasir dosa penuh melekat,
minta dihapus dengan air Ya Ghaffar,
ku lihat Mu'izMu.

Di saat namaMu disebut,
bergetar bibirku,
melafaz zikrullah,
tumpah lagi airmataku,
jemariku ralit memetik tasbih,
sesunggunya,
ku lihat Engkau Rabb al-Wasi'.

Subhanallah...
Alhamdulillah...
La ilaha illallah...
Allah Akbar!


~Oleh:Aniezmahabbah
9 Zulhijjah 1432H
5 November 2011M
~AnDaLas~

Friday, November 4, 2011

Aku...Kau...SATU!!!

Aku menundukkan kepala,
Engkau mencari-cari wajahku,

Aku memejamkan mata,
Kau memulakan bicara,

Aku bermuram,
Kau mereka cerita untuk membuat ku kembali ceria.

Ku mengalirkan airmata,
Kau menyekanya dengan jarimu,

Saat ku hilang arah,
Kau memimpinku ke satu arah,

Tika ku gembira,
Kau memaut bahu ku bergandingan,

Saat ku lelah,
Jemarimu sasa mengusapiku,

Saatku lupa,
Tanpa jemu kau mengingatkan,

Jika ku menyakitiku,
Kau diam membisu,bungkam,

Tika lenaku,
Jemarimu lembut mengusapi kepalaku,

Saat kita berjauhan,
Doamu, doaku, menjadi SATU.












~isterimu, SETIA MENANTI~

Friday, October 28, 2011

Allah Maha Besar

Aku datang dengan penuh dosa dan noda,
yang melumpuri jasad dan nurani...
Tanpa dirancang, tanpa diduga,
Aku kini berada di rumahMu.

Sebaik aku melangkah ke dalam rumahMu yang Agung,
seluruh jasadku sejuk beku,
putih pucat warna kulitku,
bimbang aku tidak dapat melihat KaabahMu.

Sepandangnya aku akan dia,
lemah longlai seluruh sendi dan urat saraf,
terjelepuk jatuh aku lalu bersujud,
terkunci mulut, terkelu lidah,
akan kehebatanMu Ya zal Jalal wal Ikram,
menangis meratap mengucap istighfar,
kerana ingkar aku atas suruhanMu,
sedang mahabbahMu tidak pernah putus kepadaku.

Memandangmu aku sayu,
sebak hati, berjurai airmata,
tanpa dapat dibendung lagi,
lencun basah hatiku,
mengharap redhoMu,
lebih lagi akan keampunanMu.

Di sini aku sedar diriku,
insan lemah lagi hina dina,
tanpa Rahman dan RahimMu siapalah aku,
tiada beza antara aku dan mereka,
hanyalah iman di dada.

Tidak terangkat kepalaku,
apabila merasai aku ini bukan siapa-siapa,
menyoroti kembali segala khilaf diri,
aku bukan wali,
seperti dirinya Rabiatul Adawiyah yang suci.

Gerun aku mengadapMu,
gentar jiwaku mendengar kalimahMu,
adakah tiba sudah saatku,
meninggalkan dunia yang fana ini?

Labbaikallah humma labbaik,
Labbaik kala syarikala kalabbaik,
Innal hamda wanni'mata,
Lakawal mulk
la syarikalak.

Menangis bukan sekadar untuk bersedih....

Maka, menangislah sepuas-puasnya agar di masa depan engkau tidak lagi menangis sehingga membawa merana di dalam jiwa.

Seketika, aku duduk di sebuah restoran untuk mengambil makan tengahri. aku memilih untuk duduk di luar restoran. tempat itu agak berangin dan mengadap ke bukit yang menghijau. Cuaca agak terik dan memeritkan kulitku yang agak cerah kemerahan. Sambil menikmati hidangan tengahriku, tiba-tiba angin sejuk meanpar sekilas pipiku yang gebu. Aku tersentak. Ku angkat kepalaku dan terus memandang bukit di hadapanku. sekejap itu juga kenangan menerpa satu persatu di ruangan mataku. Hati ku mula sebak.

Aku hampir menitiskan airmataku namun ku tahan kerana malu dengan orang yang lalu lalang di sekitarku dan orang-orang yang sedang makan di restoran itu. Aku membiarkan sahaja hatiku yang menangis.

Yang benarnya, restoran tempat aku makan itu ialah tempat yang sering aku dan suamiku kunjungi. Kata suamiku makanannya sesuai dengan seleranya dan masakannya sama seperti di rumah. Aku yang merekomenkan tempat itu kepada suamiku. Kini, aku berjauhan dengannya kerana tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat dan agama. Aku merelakannya pergi. Mudah-mudahan dengan izin Allah, berkat keikhlasannya beribadah dan berkhidmat kepada manusia lain, aku dan anak-anak merasai tempias pahalanya.

Diam tak diam, aku tidak perasan hampir sebulan lebih aku dan suami berjauhan. namun, kurasakan seperti baru semalam kami berpisah. Tiap saat dan ketika, dia sentiasa di ingatan. aku sentiasa memohon kepada Allah agar hanya cinta dan kasih sayang yang bertakhta di dalam hati ini, dan bukannya rasa benci. Aku tidak layak membnci makhluk yang serupa denganku. Andai kata dia bukan lagi yang terbaik buat ku di dunia dan akhirat, aku hanya memohon Allah menarik balik rasa cinta dan kasih sayang itu. Jangan sekali-kali di dalam hati ini wujud perasaan benci serta jauhkan daripada ruanglingkup kehidupanku. Bukan hanya dengan pasangan hidupku ini, malah dengan sesiapa pun jua. aku tidak layak. Aku jua manusia yang lemah dan hina.

Daripada perasaan ini, aku tahu bahawa menangis bukan hanya ketika kita sedih. Menangis juga bukan waktu ketika kita sedang sakit atau menderita kesusahan. Menangis juga adalah untuk meluahkan kegembiraan dan kerinduan yang terlalu mendalam. Menangis dapat melegakan sedikit perasaan takut, resah, gelisah dan tidak keruan seseorang. Menangis juga mampu mengembalikan kekuatan seseorang.

Wednesday, October 26, 2011

Rumput muda...Ohh!!! Rumput muda.....

Bukan shj alam menghamburkan air rahmatnya utk makhluk di bumi pd hari ini..aku turut melepaskan air dari empangan mata krn tasik hati tiada bertebing lg...akar rerumput di tebing tasik hati telah direntap2 sehingga akarnya tdk mampu lagi mcengkam tebing hatiku....ku pujuk hati dan perlahan2 ku tanam semula rumput muda itu agar ia kembali menyerikan tasik hatiku yg damai selama ini dengan kehijauannya....aku berdoa ia akan tumbuh kukuh selagi aku bnyawa....


By Aniezmahabbah Azlan...
@ Klang, Selangor

Tuesday, October 25, 2011

Solat Itu Buang Masa?

alt
"Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?" Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
"Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?"
Seorang pelajar menjawab, "kerana mereka jarang melihat orang solat."
Yang lain menjawab, "mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam."
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.
"Ada sebab lain?" tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
"Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa..." kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
"Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? "
"Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa," jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.
"Apa yang saudara jawab?" tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
"Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu."
"Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu."
"Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?"
"Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri," jawab saya.
"Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?" tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
"Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat "maintanance" kapal terbang, kereta api elektrik ("bullet train") dan kereta kamu..." terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
"Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?"
"Tentulah manusia," jawab mereka hampir serentak.
"Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
"Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?"
"Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami "maintenance" diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri."
"Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?"
"Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!"
"Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal," sampuk seorang pelajar di barisan belakang.
"Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi," tambah yang lain.
"Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!"
"Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia," ujar saya sebagai satu kesimpulan.
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
"Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing."
"Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi," tekan saya.
"Mengapa?"
"Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran."
"Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga..."
"Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja," tusuk saya perlahan.
"Kemungkaran dalam kerja? Apa tu?"
"Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan."
"Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan."
"Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan."
"Kenapa?" tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
"Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat."
"Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita," katanya berterus-terang.
"Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik."
Dia merenung muka saya lalu berkata,"tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?"
"Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?" balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, "sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?"
"Kos... kos dan peruntukan latihan akan bertambah," balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.
"Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?"
"Itu soal pihak atasan..." kilasnya.
"Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka."
"Baik tu baik. Tetapi..."
"Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan," pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, "insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu."
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam.... tetapi oleh orang Islam sendiri.

** Artikel ini ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalahwww.genta-rasa.com.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!