Banyak yang berlaku di hadapan mataku, betapa ramainya anak-anak yang tidak mahu menghargai masa yang mereka ada untuk bersama keluarga dan belajar. Mereka rata-rata lebih banyak menghabiskan masa bersama teman-teman merayau dan melepak di pusat-pusat membeli belah. Ada juga yang melepak di rumah sambil membawa teman-teman dengan harapan ibu bapa tidak bimbang. Bermain playstation atau pun game di komputer atau juga PSP yang melambak-lambak dalam pasaran. Ada juga yang sanggup men"download" ke dalam pendrive mereka dan bermain di komputer. Menghabiskan masa berjam-jam memerap di dalam bilik bersama game atau teman-teman. Alangkah baiknya masa yang ada itu digunakan untuk bermesra dengan ahli keluarga atau membantu ibu membuat kerja-kerja rumah agar ibu yang bekerja tidak terbeban apabila pulang dari kerja di waktu rembang petang. Tidakkah kita belas kepada ibu yang telah banyak berkorban dan lelah kerana kita? Tidak nampakkah jerih di wajahnya? Tidak nampakkah keuzuran pada tubuh badannya? Dari mula mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari ibarat membawa bata di perut beratnya. Ibarat sebulan satu bata ditambah pada badan. Sehinggalah saat kelahiran di mana ibu mempertaruhkan nyawanya, kudratnya untuk melihat kita sihat, selamat lahir ke dunia? Setelah lahir, ibu juga sanggup bersakit-sakit dan bersengkang mata untuk menyusui kita di waktu orang lain sedang lena dibuai mimpi, menjaga kita di saat kita sakit, demam contohnya. Diusahakannya mencari ubat dan dijagai kita sehingga kita benar-benar sembuh. Adakah kita tidak boleh berfikir akan keadaan itu?
Dalam surah Ar-Rahman sebanyak 31 kali ditanyakan : "Maka apakah lagi ni'mat Tuhanmu yang kamu dustakan?" Tidak bersyukurkah kita dengan segala ni'mat yang telah kita perolehi dari nyawa, kesihatan, susu yang diminum sehingga kita membesar dengan sihat dan cerdas.
Bagi mereka yang tinggal di asrama penuh atau asrama harian pula kebanyakan mereka banyak menghabiskan masa dengan membuat perkara-perkara yang boleh dikira merugikan masa. Contohnya tidur di dalam kelas, ponteng kelas dan lebih rela tidur sepanjang hari di dalam dorm, tidur di setor buku teks, tidur di surau atau pun merayau-rayau sekitar sekolah hanya kerana bosan duduk di dalam kelas bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan cikgu cikgi ustaz ustazah. Kenapalah anak-anak ini lebih rela menurut hawa nafsu berbanding menggunakan akal yang Allah beri untuk dimanfaatkan sepenuhnya? Mengapa tidak waktu yang terluang itu digunakan untuk menghabiskan kerja atau tugasan yang diberikan oleh guru-guru, berdiskusi tentang pelajaran bersama kawan-kawan atau mengaji? Kebanyakannya lebih rela menonton video-video yang melekakan dan meransang jiwa muda mereka atau menghafal lagu-lagu yang terkini dari penyanyi-penyanyi yang melata bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Masya Allah....alangkah ruginya......
Bagi ibu bapa pula, mereka juga terlihat akan kealpaan ini. Rata-rata zaman ini, ibu bapa ramai yang menghabiskan masa di luar rumah lebih banyak daripada bersama keluarga di rumah. Keadaan ini berlaku kerana desakan hidup yang semakin mencabar dan menghimpit. Segalanya memerlukan wang untuk memenuhi keperluan dan kehendak terutama di bandar-bandar besar dan maju seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan bandar-bandar yang lain. Ada segelintir ibu bapa langsung tidak pernah tahu apakah kegiatan anak-anak mereka di rumah, di luar rumah atau pun di sekolah. Anak-anak hanya dibekalkan dengan wang belanja dan bagi yang berkemampuan, anak-anak mereka akan tinggal dengan bibik di rumah. Wahai ibu dan bapa, tidakkah kamu menyedari bahawa anak-anak itu anugerah dan amanah yang Allah tinggalkan untuk kamu jaga dan pelihara? Sebelum adanya mereka, kamu terlalu mengharap dan meminta-minta akan kehadiran mereka, namun sesudah mereka lahir ke dunia, mereka diabaikan. Adakah kamu hanya akan bersama mereka sewaktu ingin mengirinya ke liang lahad? Hargailah kurniaan Allah itu selagi ada masa dan tenagamu sebelum ianya diambil semula oleh pemiliknya.
Zaman ini juga menunjukkan suami isteri ramai yang terpisah atas keperluan kehidupan. Masing-masing sibuk bekerja siang dan malam untuk mencari dan menambah rezeki keluarga. Semua juga berlumba-lumba untuk merasai kehidupan yang mewah dan berstatus. Ada rumah besar, ada kereta yang besar dan berjenama, ada simpanan wang yang banyak, melancong ke sana ke mari dan berpakaian cantik dan eksklusif dengan aksesori yang mahal juga. Suami sudah balik dari kerja tetapi isteri masih di luar dengan kerjanya. Suami sudah tidur si isteri baru pulang kerja. Suami dan anak-anak makan atau tidak, pandai-pandailah suami menguruskannya. Keadaan ini juga berlaku kepada suami-suami. Apa yang berlaku kepada isteri, ada juga segelintirnya berlaku kepada suami. Duit, harta, semakin dicari, semakin dikejar, semakin tidak mencukupi kita rasakan. Ada sahaja kehendak dan keperluan yang hendak dipenuhi sehinggakan ada pasangan yang bergaduh hanya kerana duit dan harta.
Masya Allah.....Alangkah bahagianya jika di kesempatan yang ada, kita bersama dan mengenali lebih mendalam perasaan serta perangai pasangan kita. Mengenali hati budi masing-masing, menambahi apa yang terkurang dan membaiki segala kepincangan yang terdapat pada diri masing-masing daripada mencari kesalahan, keburukan dan kelemahan pasangan kita. Allah telah menjadikan segala yang ada di muka bumi ini lengkap dengan pasangannya yang akan saling melengkapi dan menemani di antaranya. Mengapakah kita tega menghancurkan kebahagiaan yang kita harapkan sedangkan itu yang menjadi harapan kita selama ini? Kenapalah kita sanggup melepaskan ni'mat kehidupan bersama demi menggantikan harta yang bersifat sementara? Mengapa kita lebih rela hidup bersendirian di dunia yang akan musnah ini hanya kerana memuaskan kehendak nafsu kita yang serakah dan tidak pernah puas?
Sebahagian pernah berkata, jika pasangan mati kita cari lain. Usah diratapi yang telah pergi dan hidup perlu diteruskan.Mudah sungguh lidah mengucapkan ungkapan tersebut seolah-olah tiada nilai. Tidakkah kita rasa bersyukur dengan ni'mat kehidupan berpasangan selama ini? Segala keseronokan dan kepuasan ketika bersama? Mengapa bila berlaku sedikit dugaan dan ujian, kita melupakan segala kesenangan yang pernah kita kecapi?
Selama hidupku ini, melalui berbagai-bagai pengalaman bergaul dengan pelbagai jenis orang dari pelabagai status, dari berbeza latar belakang dan budaya serta agama,seiring dengan bertambahnya umurku, aku ke sana ke maridi muka bumi Allah ini, aku sujud kepadaMU wahai Allah, yang memiliki hidup dan matiku.... Selama ini banyak yang telah aku abaikan, banyak yang aku nafikan,banyak juga yang aku kufurkan. Aku lupa aku siapa di sisiMu. Aku suka bila aku mendapat apa yang aku harapkan. Aku gembira apabila hajatku dimakbulkan. Aku gembira apabila dapat bersama orang yang aku sayang. Aku seronok dapat memiliki kasih sayang orang yang aku cinta..... Namun aku selalu tersasar dan tidak mampu mengawal perasaanku, fikiranku apabila sedikit ujian kau berikan padaku. Aku marah apabila kau datangkan ujian kepada. Aku lupa itu semua. Aku lupa pada Engkau Ya Allah. Aku menyalahkan takdir yang kau timpakan. Aku katakan kau tidak sayang padaku. Aku jeritkan bahawa kau sengaja menyusahkan aku......
Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.....Kenapalah aku ini terlalu kejam? Aku kejam pada diriku sendiri. Aku turutkan nafsuku yang marah sehingga lupa bahawasanya Engkau tidak pernah tidur, dan tidak pernah melupakan hamba-hambaMu walau sedetik. Hamba-hambaMu sahaja yang sering lupa dan meninggalkanMu, wahai Allah.
Aku bersyukur kini dengan segala kebahagiaan, keni'matan yang telah Engkau berikan kepadaku walau pun sedetik cuma. Engkau masih memberi kesempatan kepadaku mengecapi keindahan di dunia ini. Aku masih lagi dapat bersama dengan orang-orang yang aku sayangi yang menjadi tunjang kehidupanku selama ini. Alhamdulillahi Rabbil 'Alamiiinn....Allahu Akbar....
Sedikit kesakitan ku rasakan terlalu parah sedangkan kesakitan itu kau berikan padaku untuk menjadi penebus segala dosa-dosaku terhadapMu. Sakit yang kau berikan pada ku untuk mengingatkan aku kepadaMu. kau tidak pernah sama sekali jauh dariku sedangkan kau dekat denganku, bukan di mata malah lebih dekat dari urat di leherku. Engkau telah lama wujud dalam diriku tapi aku yang tak pernah melihat Engkau dalam diriku. Sungguhku buta dalam terang, sungguh ku lupa ketika bahagia. Ampunilah aku, Ya Allah di atas kesalahan, kekhilafan dan kekuranganku selama ini. Tetapkan aku di kala kesesatan. Aku kini merinduiMu, aku mencintaiMu sepenuh hatiku....Seluruh hati aku berserah....Hidup matiku hanya untukMu....Aku menunggu waktu untuk bertemu denganMu.....PASTI........
No comments:
Post a Comment