IsI dan KuLiT

Apapun di dalam dunia ini, dan kehidupan kita, ianya ibarat isi dan kulit di mana saling memerlukan. Jadilah seperti kulit yang melindungi sang isi yang baik, manis, cantik dan sang isi yang menggembirakan semua orang......

Thursday, August 29, 2013

Pahit Itu Ubat, Manis Itu Racun

Hari itu, saya balik selepas didenda berdiri di luar kelas selama sejam selepas waktu sekolah oleh Ustaz Ismail kerana terlupa menyiapkan kerja rumah.

“Mi, sekolah macam mana hari ini? Mengapa lambat?” tanya mak sejurus saya tiba di rumah.

“Bagus. Cuma Ustaz Ismail minta bantu di surau susun buku,” saya menipu kerana tidak mahukan mak terasa sedih, hampa, sakit hati, bimbang dan pelbagai alasan.
Mak tidak berkata apa-apa.



Seminggu berlalu, saya sekali lagi didenda untuk tinggal selepas waktu sekolah dan membersihkan tandas surau. Kali ini atas sebab yang agak memalukan, saya bergaduh dengan kawan saya yang mengejek saya didenda berdiri di luar kelas.

Hari itu, saya pulang ke rumah. Mak bertanya seperti biasa apa keadaan di sekolah dan mengapa saya lambat balik.
Saya menjawab terlewat dan menggunakan alasan yang sama bahawa Ustaz Ismail minta membantu kerja di surau kali ini mencuci tandas surau.

Mak tidak berkata apa-apa.

Kali ketiga, saya cuba ponteng kelas dan apabila memanjat dinding, saya terjatuh dan terseliuh kaki. Ustaz Ismail yang datang membantu, tapi dalam keadaan nak melenting kerana saya tidak pernah nak belajar jadi baik.

Ustaz Ismail memanggil mak saya datang menjemput saya balik ke rumah. Tapi mak saya tidak tahu memandu, dan bapa pula sudah tiada, maka Ustaz Ismail akhirnya membawa saya balik ke rumah.

Saya gementar setibanya di rumah. Apakah rahsia saya akan terbongkar?

Selepas menghantar saya ke bilik, mak saya ke pintu pagar berbincang sesuatu dengan Ustaz Ismail.

30 minit mereka berbual. Saya bertambah gementar kerana saya yakin Ustaz Ismail telah menceritakan segala kejahatan saya pada mak saya.

Selesai perbualan, mak saya datang ke bilik saya. Tangan saya terketar-ketar terasa mak akan menampar saya kerana menipunya.

“Tiga minggu lepas hari Selasa, Mi balik lewat sebab apa? Dan minggu lepas, Mi balik pun sebab apa?” tanya mak saya.

Saya ternganga dengan soalan itu. Apakah saya harus meneruskan kata-kata bohong saya? Apakah mak sudah tahu segalanya sekarang datang ‘test’ saya? Apakah Ustaz Ismail dah memberitahu segalanya?

“Saya tak ingat mak, rasanya kerana Ustaz Ismail,” jawab saya mengambil jalan yang selamat dengan menipu sekali lagi.

Mak melihat saya.

“Tadi Ustaz Ismail memberitahu mak sesuatu,” kata mak. Berdebar-debar hati saya mendengarnya… habislah kali ini.
“Ustaz Ismail suruh mak sampaikan ini pada Mi:
Orang yang menipu selalu sakitkan otak dan minda dia. Sebab dia kena ingat pada kata bohong dia sampai bila-bila; kerana jika dia terlupa segalanya akan terbongkar.
Orang yang berkata benar otak dan mindanya ringan. Sebab dia tak perlu ingat kerana apa yang diceritakannya cerita benar yang tidak berubah mengikut masa,” kata mak.

Mendengar kata-kata itu, saya tersentak dan tersentuh seketika.

“Itu saja Ustaz Ismail bagitahu?” tanya saya.

“Ya. Dia pesan Mi jangan berbohong dengan mak kerana nanti rosak otak. Kata Mi ok, cuma nakal sikit. Dan cara hilang nakal mudah, Mi jangan berbohong pada mak, kata Ustaz Ismail,” tambah mak.

Sejak hari itu, saya berubah baik. Hubungan dengan Ustaz Ismail semakin rapat, daripada seorang guru kepada ayah angkat saya.

Wahai anakku,
Janganlah beratkan mindamu dengan kata-kata bohongmu. Kerana setiap kata tipumu kamu akan terpaksa ingat supaya tembelang kamu tidak pecah. Bercakap benarlah sentiasa, kerana ia mudah dan tidak perlu diingat. Apa yang dicerita ialah kebenaran yang tidak diubah masa.


Senyum.  :D   ;)

#credit to kekanda Nor Hasimah Ismail. Thank you for the reminder and lesson you gave me sister. I appreciate it for the rest of my life. Jazakillahu khairan fi dunia wal akhirah.

Saturday, August 24, 2013

Al Kisah Seorang Pemotong Batu

Najib seorang pemotong batu yang amat tidak berpuas hati dengan dirinya dan kehidupannya. Najib sentiasa merungut.

Satu hari, Najib disuruh oleh seorang kaya raya untuk memotong batu di belakang rumahnya. Rumah orang kaya raya tersebut penuh dengan harta dan semua pelawat-pelawat VVVIP.

“Orang kaya raya ini mesti power!” fikir Najib. Dia menjadi dengki dan menutup mata berdoa agar satu hari beliau menjadi sekaya orang kaya raya tersebut.

Najib terkejut, apabila ia membuka matanya, doanya termakbul, dia seorang yang kaya raya kini, penuh dengan harta dan kuasa yang tidak pernah dirasainya.

Setelah beberapa ketika, Najib berasa jengkel kepada mereka yang tidak sekayanya.



Tiba-tiba satu hari, satu satu kereta pegawai besar datang melalui jalan di depan rumahnya. Pegawai tersebut duduk dalam kereta yang sangat mewah dan eksklusif dengan pelbagai bodyguard, dan apabila berjalan akan diiringi oleh barisan askar.

Orang kaya raya macam mana pun kena tabik pada pegawai tersebut.

“Powernya pegawai itu. Alangkah baiknya kalau saya dapat menjadi pegawai VVVVVVIP itu,” doa Najib sambil menutup mata.

Doa Najib termakbul, kini dia telah menjadi Pegawai tersebut, yang disanjungi, ditakuti dan dibenci oleh orang-orang kelilingnya….

Semasa berada dalam kereta, Najib terasa amat panas. Najib keluar melihat teriknya matahari tersebut yang bersinar megah di langit.

“Powernya matahari tersebut. Alangkah baiknya kalau saya boleh menjadi matahari,” doa Najib sambil menutup mata…

Bila Najib membuka mata, betul dia dah jadi matahari – dia menggunakan kuasanya untuk memancar segala cahaya dan haba ke bumi sehingga kemarau berlaku untuk menunjukkan bahawa dia paling berkasa.

Tiba-tiba ada awan besar datang menghalang dia, cahaya dia tidak sampai ke bumi.

“Powernya awan ini. Alangkah baiknya kalau saya dapat menjadi awan besar itu…” doa Najib sambil menutup mata lagi.

Apabila membuka mata, doa Najib termakbul lagi, beliau kini menjadi awam besar. Dia menunjukkan kekuasaan dengan hujan lebat sehingga flyover ciptaan manusia boleh terbanjir.

Semasa Najib sedang menurunkan hujan, tiba-tiba datang angin kuat menolak dia ke laut besar.

“Powernya angin. Alangkah baiknya kalau saya dapat menjadi angin pula…” doa Najib sambil menutup mata.

Bila membuka mata, Najib betul menjadi angin seperti yang didoakan – ditiupkanya semua bumbung dan menumbang berderet pokok sehingga ia menjadi dahsyat dan dibenci semua orang di bawah.

Tapi ada satu yang tidak berjaya ditiup Najib – sebuah batu besar. Tak kira sekuat mana tiupan Najib batu besar itu tetap tidak bergerak.

“Powernya batu. Alangkah baiknya kalau saya dapat menjadi batu…” doa Najib sambil menutup mata.

Kemudian, Najib betul menjadi batu besar, berkuasa daripada segalanya di muka bumi ini.

Tapi ketika Najib berdiri di sana, dia terdengar suara tukul menghentam satu permukaan yang keras dan merasakan dirinya sedang diubah bentuk.

Najib melihat sekeliling – dan terlihat seorang pemotong batu merupai dirinya sendiri sedang memecahkan dirinya.

“Oi, bangun!”

Najib tersedar daripada tidur petang… “Kamu nak jadi apa? Tengah makan pun boleh tertidur,” sindir orang kaya raya tersebut.

“Seorang pemotong batu dah ok,” kata Najib.


Wahai anakku,
Sudahkah kamu habis termenung? Perkara paling membazir dalam hidup ini ialah me-tongsampah-kan masa kurniaan Allah dalam keadaan termenung, ingatlah wahai anak kesayanganku.




#nukilan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man 

Thursday, August 22, 2013

Budak Paling Bodoh Dalam Dunia

Sambil menggunting rambut seorang pelanggan, Mamak tukang gunting menunjuk kepada Ajoi yang bermain di depan kedainya sambil berkata.

Mamak: “Tgk budak yang pakai baju power ranger tu adalah budak yang paling bodoh di dunia”
Pelanggan: “Naper awak cakap macam tu mamak?”
Mamak: “Awak tgk ni..”sambil memanggil Ajoi datang kepadanya

Kemudian Mamak tu menunjukkan 2 helai wang kertas kepada Ajoi. Satu RM1 satu RM10 dan berkata pada Ajoi “Nah awak ambil la duit ni, awak pilih yang mana?”
Ajoi mengambil duit RM1 dan mengucapkan terima kasih dan terus berlari.

Mamak:” Hahaha kan saya dah kata! budak tu bodoh. Saya dah berpuluh kali tak terkira suruh dia pilih duit, dia mesti pilih duit yang paling sikit. hahaha!”
Sumardi yang melihat kejadian tu bertanya kepada Ajoi.

Sumardi: “Joi pasal ko tak ambik duit RM10 tu?”
Ajoi: “Aku takkan dapat duit RM1 lagi setiap hari kalau aku ambil duit RM10 tu. Ini kerana Mamak tu selalu suka kalau aku amik duit RM1.Kalau aku ambil RM 10 tu, permainan akan tamat”
Sumardi: “haha ko budak paling bijak dalam dunia”



Moral Of the story:
1. Ramai yang merasakan lebih bijak dibandingkan orang lain, sehingga mereka selalu memandang rendah kepada orang lain. Sebenarnya ukuran kepandaian seseorang hanya TUHAN yang mengetahuinya. Alangkah bijaksananya kita jika tidak menganggap diri sendiri lebih bijak dari orang lain.

2. Perbezaan orang yang berjaya dengan orang kurang berjaya adalah, orang yang berjaya berfikir untuk hari esok, orang kurang berjaya berfikir untuk hari ini.