IsI dan KuLiT

Apapun di dalam dunia ini, dan kehidupan kita, ianya ibarat isi dan kulit di mana saling memerlukan. Jadilah seperti kulit yang melindungi sang isi yang baik, manis, cantik dan sang isi yang menggembirakan semua orang......

Monday, February 18, 2013

Kerana Sebiji Epal



Ahad, 13 Januari 2013. Aku dan anak-anak balik ke Klang menjenguk mak yang kini tinggal berseorangan. Anak-anak sudah tinggal bersama denganku di Perak kerana mereka telah pun bersekolah. Seperti biasa hari Ahad pasti aku dan mak serta anak-anak akan keluar menghabiskan masa bersama dengan makan bersama dan "window shopping". Destinasi kali ni makan tengahari di Restoran Cili Merah dan kemudian ke Plaza Alam Sentral.

Tujuan ke Plaza Alam Sentral ialah mencari tudung sekolah untuk Busyra dan 'Ilmee. Kalau putih sudah lama aku buat sendiri tapi ni nak mencari warna ungu dan yang paling utama mesti mudah dipakai atau disarung sebab anak-anak kecil agak lasak dan sukar digayakan.

Setelah 15 minit berlegar-legar di lantai satu Alam Sentral, akhirnya bertemu juga dengan tudung yang dikehendaki. Dapatlah seorang sepasang. Kemudian, menemani emak cari barang yang dikehendaki pulak..

Setelah apa yang dihajati emak diperolehi kami turun ke lantai bawah(ground floor). Anak-anak dah mula membising sebab dah berjalan agak lama. Mulalah mereka mintak itu dan ini. Kemudian, emak berhenti di gerai buah berdekatan eskalator. Sambil emak memilih-milih buah yang segar, aku seperti biasa melayan androidku. Sambil melayari facebook di android mataku menjeling-jeling juga untuk memastikan keselamatan anak-anak ku agar mereka tidak pergi jauh daripada aku dan emak. Entah macam mana, dalam kekalutan emak memilih buah dan anak-anak yang dah mula riuh, mata aku terpandang seorang mat Bangla tukang sapu di bangunan Alam Sentral tu sedang berbual dengan peniaga buah tersebut. Peniaga buah tersebut sedang ralit menyusun buah ke rak. Sambil berbual dia tidak memandang ke arah mat Bangla tersebut. Aku agak curiga dengan mat Bangla tersebut yang mana bahasa badannya membuatkan  aku untuk terus memerhatikan dia dan apakah yang akan dibuat seterusnya.

Sambil dia berbual dan sambil menyapu ala kadar di sekitar gerai buah itu, tiba-tiba tangannya meraba-raba buah epal yang berdekatan. Tanpa peniaga tersebut menyedari, mat Bangla itu telah mengambil sebiji epal yang agak kehijau-hijauan dan di sembunyikan di tanggannya. Kelihatannya dia seperti ingin tunjuk atau minta kepada peniaga buah tersebut tetapi mungkin dia takut atau rasa bersalah atau ditakuti peniaga tersebut minta wang selepas itu mat Bangla tersebut tiba-tiba menyeluk sakunya. Dia nekad menyembunyikan epal tersebut. Aku teragak-agak untuk menegur mat Bangla tersebut. Pertama aku fikir mat Bangla tersebut mungkin akan malu. Kedua aku takut akan terjadi pergaduhan antara peniaga buah dengan mat Bangla tersebut. Kemudian, ku lihat mat Bangla tersebut terus beredar tapi wajahnya masih menunjukkan rasa bersalah.

Aku mula terfikirkan sesuatu. Kenapa mat Bangla tersebut tergamak berbuat demikian? Tidak ada duitkah dia? Sebiji epal baru berapa sen sahaja. Atau adakah kalau mat Bangla tersebut meminta kepada peniaga tersebut, mungkinkah peniaga tersebut akan memberinya dengan percuma atau akan terus meminta bayaran?
Dalam aku berkira-kira tu, aku cuba mencari tanda harga bagi buah epal tersebut. Setelah aku tolak kali bahagi akhirnya aku dapati harga bagi sebiji epal hanyalah RM0.50 sahaja. Masya Allah. Aku beristighfar  berkali-kali dan pada masa yang sama aku bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan untuk aku dan keluargaku. Lantas, aku berjumpa dengan peniaga buah tersebut lalu aku berikan RM0.50 kepadanya. Aku katakan ada yang ambil buah epal di gerainya tadi. Dia cuba bertanya sesuatu lalu aku katakan takpalah. Tak perlu tahu siapa. Anggap saja saya beli. Tapi saya beli sebiji sahaja. Peniaga tersebut nampaknya keliru. Tapi masih lagi menerima wang pemberianku.

Emak pun selesai membeli buah dan kami terus memutuskan untuk balik ke rumah kerana bas ku ke Perak akan bergerak jam 4.30 petang. Barang perlu dikemas dan anak-anak perlu dibersihkan sebelum balik ke Perak.

Sepanjang perjalanan balik, kepala dan perasaanku sarat dengan kejadian yang berlaku tadi. Manusia sanggup buat apa sahaja demi sesuap makanan. Manusia tega mencuri, merompak, mengemis untuk makan. Ada juga segelintir manusia yang mahu makan tapi tak mahu membayar dengan erti kata lain nak 'makan free". Kejadian ini membuatkan aku insaf dengan apa yang telah aku ada. Jika kita ada rezeki lebih tidak salah rasanya kita berkongsi dengan mereka yang betul-betul memerlukan. Jangan kedekut kerana rezeki itu datangnya daripada Allah jua. Sekuat mana dan segigih mana kita bekerja tapi Allah jua yang mengurniakan. Janganlah kita mendabik dada dengan berkata, "aku kerja penat-penat, senang-senang je dia nak mintak". Itulah kata-kata manusia yang sombong dan kufur ni'mat. Adakalanya mata zahir kita tidak dapat melihat apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin seseorang itu amat memerlukan wang dan wang itu perlu dibelanjakan dengan sebaiknya untuk keperluan yang lebih utama. Seperti insiden mat Bangla tersebut aku berfikir mungkin dia teringin sangat nak makan epal tersebut tetapi mungkin wangnya amat terhad. Jadi, aku niatkan sedekah untuknya. Mudah-mudahan ianya menjadi jariah buatku dan aku doakan mat Bangla tersebut jangan lagi mengulangi perbuatannya yang salah. Mudah-mudahan Allah berikan dia kekuatan untuk membuat kebaikan.

Hadis ada menyebutkan yang berbunyi:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.  

Antara kelebihan bersedekah ialah:

Dari Abu Dzar r.a katanya:Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka. Jawab Rasulullah SAW:Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah. Mereka bertanya:Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami? Jawab Rasulullah SAW Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa bersedekah seberat biji kurma dari usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung.

Abu Said al-Khudri r.a menerangkan bahawasanya segolongan sahabat dari golongan Ansar meminta pemberian daripada Rasulullah lalu baginda memberikannya kepada mereka itu. Kemudian mereka meminta lagi kepada Rasulullah lalu baginda memberikannya pula sehingga habis apa yang ada padanya. Maka bersabdalah nabi: Harta yang ada pada ku tidaklah sekali-kali aku menyimpannya untuk orang yang lain daripada mu. Sesiapa yang memelihara diri dari meminta-minta nescaya Allah memeliharanya daripada yang haram. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah, nescaya Allah memberikan kecukupan kepadanya. Dan sesiapa bersabar menahan penderitaan, nescaya Allah memberikan kepadanya kesabaran. Dan tidak diberikan kepada seseorang sesuatu pemberian yang lebih baik dan luas daripada ˜kesabaran'.




1 comment:

  1. Tahniah kerana puan telah menyelesaikan hutang mat bangla, (perlakuan yang sangat terpuji), tetapi jika puan dapat berjumpa dengan mat bangla tersebut dan berikannya sebiji epal yang lain yang telah puan bayar dan kembalikan epal yang ada di dalam poketnya mungkin puan akan dapat dua kebaikan; pertama menyelesaikan hutang, dan kedua mengajar mat bangla tentang kesalahan mencuri. Anyway, tahniah sekali lagi kepada puan.

    ReplyDelete