IsI dan KuLiT

Apapun di dalam dunia ini, dan kehidupan kita, ianya ibarat isi dan kulit di mana saling memerlukan. Jadilah seperti kulit yang melindungi sang isi yang baik, manis, cantik dan sang isi yang menggembirakan semua orang......

Wednesday, May 15, 2013

Resmi Ayam dan Penyu (Introvert-Ekstrovert)


Ada dua situasi yang membezakan antara ayam dan penyu. Kedua-duanya merupakan haiwan yang bertelur: ayam hanya telur sebiji tapi riuh sekampung, penyu telur puluhan atau ratusan biji tidak riuh sekampung tapi sedih ketika meninggalkan lahan telur kerana bimbangkan keselamatannya.

Sifat itu ada juga pada manusia, lebih ramai manusia yang suka menghebahkan apa yang dilakukan meskipun hanya sedikit kerana ingin mendapat pujian dan sanjungan. Manusia yang jenisnya tidak suka menonjolkan diri, lebih banyak berfikir dan mengeluarkan hasil, tapi tidak sukakan publisiti. Dalam situasi inilah mereka yang pendiam kebiasaannya dilihat berada di belakang tabir, manakala yang suka menonjol diri menjadi lebih sibuk nak pamerkan hasilnya.

Saya namakan manusia bising itu sebagai ayam manakala manusia produktif tapi pendiam adalah penyu. Penyu juga mempunyai hayat yang panjang berbanding ayam, kerana kebisingan jugalah menyebabkan ramai yang marah. Meskipun bilangan ayam lebih banyak berbanding penyu, kedua-dua menghasilkan telur yang enak kalau di makan dengan cara berpatutan, masing-masing mengandungi kalestrol.

Penyu mewakili manusia yang dikategorikan sebagai introvert, manakala ayam mewakili manusia ekstrovert. Seseorang mempunyai ciri introvert ialah suka bersendirian apabila berada dalam kerumunan (crowd); hujung minggu bersama keluarga; dan tidak gemar bersosial, kecualilah terpaksa.

Seringkali mereka yang dikategorikan introvert dipandang serong, terutama oleh pemimpin yang bersifat ekstrovert, yang juga seorang oportunis. Kelompok introvert seringkali menjadi mangsa keadaan, kerana ekstrovert bijak memanupulasikan situasi dan sikap suka berdiam diri introvert.

Susan Cain, penulis buku Quiet: The Power of Introverts in a World That Can’t Stop Talking memberikan amaran, jangan bersikap prejudis. Keputusan mereka yang introvert untuk menyendiri bukan bermakna mereka antisosial ataupun pemalu. Mereka sebenarnya tidak gemar berceloteh kosong, kerana mereka adalah kelompok yang sangat berhati-hati dalam percakapannya. Mereka tidak akan mengeluarkan pendapat sekiranya tidak mempunyai kesahihan maklumat dan matlamat.

Jika mengatakan mereka yang introvert itu antisosial, ia merangkumi sifat dan sikap takut berlebihan, membayangkan dirinya dihina atau dikecam di depan khalayak. Introvert hanya memilih untuk menyendiri kerana itu adalah pilihan, pilihan yang membahagiakan hati dan perasaan. Benarlah, ada sebaris lagu menceritakan : Diam adakalanya lebih bererti dari keriuhan.

Biasanya orang yang suka menyendiri itu amat mencinta ketenteraman. Orang yang suka menyendiri itu mempunyai sikap yang mendalam dan semangat yang kuat untuk mengatasi masalah atau cabaran dengan cara yang berlainan, kerana secara lumrahnya, mereka yang bermuka tebal dan suka menonjol dirilah yang paling banyak kecewa.

Dianggarkan terdapat sekitar satu pertiga daripada penduduk dunia tergolong dalam kelompok introvert dan Susan Cain, “we make a grave mistake to embrace the Extrovert Ideal so unthinkingly. Some of our greatest ideas, art, and inventions—from the theory of evolution to van Gogh’s sunflowersto the personal computer—came from quiet and cerebral people who knew how to tune in to their inner worlds and the treasures to be found there.

“Without introverts, the world would be devoid of: the theory of gravity (Sir Isaac Newton), the theory of relativity (Albert Einstein), Yeats’s “The Second Coming” (WB Yeats), Chopin’s nocturnes (Frederic Chopin), Proust’s In Search of Lost Time (Marcel Proust), Peter Pan (JM Barrie), Orwell’s Nineteen Eighty-Four and Animal Farm (George Orwell), The Cat in the Hat (Theodore Geisel), Charlie Brown (Charles Schulz), Schindler’s List, E.T., and Close Encounter of the Thord Kind (Steven Spielberg), Google (Larry Page), Harry Potter (JK Rowling).” (hal. 5).

Seseorang itu membuat pilihan untuk bersendirian dalam persekitaran yang tenang dan aman mempunyai sebabnya yang tersendiri. Golongan introvert sebenarnya bukan menyepi, tetapi berusaha untuk mencari kekuatan atau dengan kata lain mengecas semula bateri setelah merasakan titik penuhnya sudah berkurangan. Tujuan kita mengecas semula bateri telefon genggam ialah memikirkan semula apa yang diperkatakan, dan bukannya terus memperkatakan sesuatu walaupun tidak bernas sebagaimana dilakukan oleh kelompok ekstrovert.

Mereka yang disifatkan sebagai introvert, akan memilih rakan pergaulannya kerana khuatir bergaul dengan mereka yang tidak sesuai akan mengundang lebih banyak masalah. Begitu juga ketika memilih untuk berkejaya atau pasangan hidup. Ia lebih berhati-hati, dan soal pemilihan ini mereka menjadi lebih teliti berbanding kelompok ekstrovert. Ekstrovert lebih mudah terpegun dengan penampilan luaran manakala introvert lebih mengutamakan keindahan dari dalam, kerana mereka lebih mengutamakan nilai perkongsian dalam jangka masa yang panjang.

Dalam realiti kehidupan, sama ada ektrovert ataupun introvert, ia masih tetap menggunakan kaedah penilaian yang sama, pilihan yang betul atau salah. Secara lebih mudah, pilihan yang tepat dan benar sering diandaikan keputusan oleh orang yang bersifat ekstrovert, kerana pandangan umum ialah berkawanlah dengan semua orang, ia akan membolehkan anda lebih berani dan berjaya. Itu adalah nasihat orang tua kepada anak-anak, tapi waspadalah: berkawan biar beribu, tapi berkasih biarlah satu. Secara lahirnya, dikatakan orang introvert sentiasa berlaku silap kerana mereka tidak berani membuat keputusan dan sering menangguhkan peluang. Introvert tidak bersedia mengambil risiko, tapi jika keputusan telah diambil, ia akan dipertahankan sampai bila-bila. Itulah tanggapan salah terhadap kelompok introvert.

Jangan hanya mengagumi mereka yang ekstrovert, kerana secara lahirnya mereka adalah kelompok yang suka membuat kecoh. Orang ekstrovert memperoleh kekuatan moral apabila berada dalam keramaian, manakala mereka yang introvert lebih mengutamakan kesempurnaan hasil dan gemar melakukan kerja secara personal. Oleh kerana itulah mereka yang introvert mampu menghasilkan kreativiti yang besar dan menghasilkan kesan yang berpanjangan kerana ideanya bernas, praktikal dan melalui pelbagai proses penyempurnaan sebelum diketahui umum. Bahkan, dalam sesetengah keadaan, hasil kreatif kelompok introvert berjaya merevolusikan pemikiran dan cara kita bertindak, kerana mereka adalah pembaharu.

Kalau di pejabat, mereka yang bersifat introvert lebih suka melaksanakan tugas yang sukar kerana mereka lebih berhati-hati. Dalam tanggungjawab penuh risiko, golongan introvert akan membuat pertimbangan dalam semua aspek terlebih dahulu sebelum menyatakan pendiriannya, mereka merupakan pendengar yang baik, bekerja dengan dedikasi, berfokus dan tidak bersedia medabik dada. Kelebihan-kelebihan itulah membolehkan banyak karya hebat dihasilkan, dan mereka lebih tekun melakukan penelitian. Orang introvert lebih berjaya dalam bidang-bidang khusus, da nada ketikanya gagal dalam kemahiran bersosial.

Meskipun ada perbezaan, jika golongan ektrovert dan introvert ini boleh bekerjasama dengan baik, ia akan memberikan keseimbangan yang besar dalam kehidupan. Ini kerana sebagai pemimpin yang introvert, mereka lebih menekankan sinergi berbanding ektrovert yang bersifat dominasi. Tulis Susan Cain: “Now that you’re an adult, you might still feel a pang of guilt when you decline a dinner invitation in favor of a good book. Or maybe you like to eat alone in restaurants and could do without the pitying looks from fellow diners. Or you’re told that you’re ‘in your head too much’ [because you are an introvert]….Of course, there’s another word for such people: THINKERS.” (hal. 7)

Buku ini diawali dengan pencarian Susan Cain sendiri. Kerana beliau merupakan kelompok introvert, yang berkelulusan daripada Universiti Princeton dan Sekolah Undang-undang Universiti Harvard, dan memulakan penulisan buku ini pada tahun 2005, dengan mengkisahkan seorang wanita berusia 40-an yang menahan bas di Montgomery, Alabama pada 1 Disember 1995. Disebabkan beliau bukanlah berasal dari keturunan kulit putih, beliau diarahkan oleh pemandu bas agar memberikan tempat duduk itu kepada seorang lagi penumpang berklit putih.

Wanita itu kemudiannya membangkitkan protes kebebasan awam, kerana telah didiskriminasikan hanyalah disebabkan warna kulit. Akhirnya beliau disoal oleh pihak polis. Dalam jawapannya, Rosa Park berkata: Why do you all push us around?” Jawapan polis amat mengecewakan: Saya tidak tahu..tetapi, undang-undang tetap undang-undang, dan sekarang puan ditahan.”

Perempuan kemudiannya dibicarakan dan prosesnya dilakukan tanpa aturan yang jelas. Persatuan Penambahbaikan Mongomery kemudiannya melancarkan perhimpunan di Gereja Hold Baptist Street, sudut kawasan perkumuhan di Bandar itu. Perhimpunan itu disertai seramai lebih 5,000 orang dan kemudiannya, Martin Luther King Jr berucap: There comes a time that people get tired of being trampled over by the iron feet of oppression…There comes a time when people get tired of being pushed out of the glittering sunlight of life’s July and left standing amidst the piercing chill of an Alpine November.” (hal. 1-2)

Kemudiannya, pihak persatuan melancarkan pemboikotan terhadap pengendali bas tersebut selama 381 hari. Ini menyebabkan ramai pekerja merungut dan mereka terpaksa berkongsi kereta untuk ke tempat kerja. Rossa Park yang meninggal pada tahun 2005, ketika berusia 92 tahun, memberikan semangat untuk Susan Cain menyelidiki bagaimana seseorang yang dianggap introvert itu akhirnya telah benar-benar mencetuskan sejarah besar buat Amerika.

Buku ini diterbitkan pada bulan Januari 2012, dan benar-benar menarik minat umum. Cain cuba mengubah pandangan umum terhadap golongan introvert dengan menjelaskan: “ketika masih kanak-kanak, sering dikatakan bahawa golongan introvert bukanlah sifat yang baik, dan kerana itulah dia diminta untuk lebih terbuka dan menjadi ektrovert.”

Cain memberikan pengakuan itu apabila berceramah selepas dua bulan buku itu diterbitkan. Tajuk ceramahnya ialah “The Power of Introvert”, di mana untuk menjadikan dirinya lebih berani dan asertif, dia perlu menjadi penceramah walaupun bidang penulisan amat diminatinya. Cain mempunyai syarikat perundingan yang memerlukan beliau sentiasa berhadapan dengan khalayak.Bermula daripada pengalaman itulah Cain merumuskan, kumpulan introvert bukanlah kumpulan yang buruk sedangkan mereka mempunyai banyak kelebihan yang tidak kedapatan dalam kalangan ektrovert.

Tipologi keperibadian introvert pada mulanya diperkenalkan oleh Carl Jung (1875-1961), seorang pakar psikitiari, psikoterapi dan pengasas kajian psikoanalisis berbangsa Switzerland. Bagi Carl Jung: Introvert merupakan orang yang sibuk dengan apa yang ada dalam fikirannya jika dibandingkan dengan apa yang terjadi di sekelilingnya. Orang yang dikategorikan sebagai introvert, akan memilih untuk bersendirian, kerana itu adalah pilihannya yang terbaik. Perbezaannya, ialah tindak balas terhadap ransangan luaran: Introvert lebih aktif dan cerdas ketika bersendirian, yakni suka kepada persekitaran yang tenang; manakala ektrovert pula merasakan hilang kekuatan atau mudah bosan bila berseorangan, lebih menonjol bila berada dalam kerumunan.

Menurut Carl Jung, sebenarnya tidak ada orang yang sepenuhnya introvert ataupun seluruhny ekstrovert. Seorang introvert boleh berada dalam lingkungan sosial dan menikmati acara sosial, manakala seseorang yang bersifat ekstrovert boleh bersendirian kerana setiap manusia memerlukan privasi. Tetapi, setiap daripada kita memiliki kecenderungan dominan terhadap satu perwatakan. Menurut Susan Cain, antara ciri orang yang introvert, Lebih suka mendengar daripada bercakap; gemar membaca daripada bersosial; gemar bersembang dengan rakan-rakan yang dikenalinya atau sekumpulan orang; dan yang paling dominan ialah lebih banyak berfikir sebelum bercakap.

Orang Introvert tidak gemar menghabiskan masa berjam-jam berinteraksi dengan orang lain tanpa tujuan dan maksud yang jelas. Bagaimanapun, orang introvert boleh bersifat ”terbuka dan bebas” ketika menemukan seseorang yang sesuai dengan dirinya. Itulah yang hendak diketengahkan oleh Susan Cain, adalah satu prasangka buruk dalam masyarakat terhadap seseorang yang dikelasifikasikan sebagai introvert. Anggapan umum bahawa orang yang introvert itu pasif, tidak produktif dan antisosial sebenarnya satu tanggapan yang silap, dan jika diukur daripada hasilnya, orang introvert boleh diibaratkan sebagai resmi penyu, hati-hati ketika hendak bertelur berbanding ektrovert, telur hanya sebiji, riuhnya sampai ke hujung kampong, semua orang tahu. Sedangkan penyu, bertelur banyak, sukar untuk ditemukan kerana sentiasa melindungi penyambung generasinya.

Sebuah buku yang menarik dan boleh mengubah perspektif psikologi kita terhadap watak dan peribadi manusia. Hasil penyelidikan yang mendalam tetapi ditulis dengan menggunakan pendekatan popular, maka wajarlah buku ini dikatakan Bestseller di New York Times, Washington Post, Los Angeles Times, Publisher Weekly, Best Book of the Month , The Oprah Magazine, dan The Dallas Morning News. Buku ini turut mendapat ulasan yang memberansangkan dan Susan Cain menerima pelbagai pujian atas usahanya selama lebih enam tahun membuat penyelidikan.

Nama Buku : Quiet: The Power of Introverts in a World That Can’t Stop Talking
Nama Penulis : Susan Cain
Nama Penerbit : Broadway Paperbacks, New York, 2012
Jumlah Halaman : 357
Harga : US 16.00 (RM 49.90)
Nama Pengulas : Kamarun KH
#copy paste drp Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia blog sumber

No comments:

Post a Comment