IsI dan KuLiT

Apapun di dalam dunia ini, dan kehidupan kita, ianya ibarat isi dan kulit di mana saling memerlukan. Jadilah seperti kulit yang melindungi sang isi yang baik, manis, cantik dan sang isi yang menggembirakan semua orang......

Tuesday, October 22, 2013

Jauhi dari putus asa dan bersedih hati

Memang dalam kehidupan ini tiada yang lebih menyedihkan dari sebuah harapan yang terpatahkan. Ketika kita menaruh harapan dan ternyata hanya berujung pada sebuah kekecewaan. Kehilangan cinta manusia itu memang menyedihkan, namun akan lebih menyedihkan jika kita kehilangan cinta Allah. Kita mencintai manusia melebihi kadar cinta kepada-Nya sehingga membuat DIA murka..

Sesungguhnya kesempitan yang kita rasakan akan ada jalan keluar. Dalam musibah yang kita hadapi ada perkara yang akan menyelamatkan kita dari musibah itu sendiri. Justeru, di dalam perkara-perkara yang tidak kita sukai itu pasti ada nikmat dan kebaikan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka, ‘Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari Kami, sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat).’” (Fathir 35: 34)

Manusia sebenarnya telah mengetahui bahawa pergantian keadaan (yakni lenyapnya kesedihan dan kesusahan) dengan sesuatu yang sebaliknya adalah sesuatu perkara yang pasti sebagaimana lenyapnya malam menandakan munculnya siang. Namun kelemahan tabiat manusia selalu saja mengiringi jiwa pada saat terjadinya bencana.


Jika tidak diubati maka akan bertambahlah penyakitnya, dan akan semakin besar cubaannya. Masalahnya adalah bahawa jiwa harus diberi kekuatan baru pada saat berada di dalam kesusahan. Ini kerana apabila tidak disuntik dengan kekuatan baru, jiwa akan dipenuhi keputus-asaan, yang seterusnya akan menghancurkan dirinya sendiri.
Perkara yang patut direnungi dalam bab ini (bab tentang orang yangan mendapat cubaan lalu bersabar, dan hasil kesabarannya itu adalah balasan yang terbaik) adalah merupakan perkara yang dapat menguatkan jiwa dan mendorongnya untuk terus bersabar dan menjaga kebaikan akhlak terhadap Tuhan berupa berbaik sangka terhadap-NYA, bahawa akhir dari segala ujiannya adalah kebaikan.

Wahai orang yang harinya ditimpa kesedihan, melangkahlah dengan perlahan, di ufuk sana telah tersedia jalan keluar yang akan memberikan keringanan.

Wahai orang yang matanya selalu digenangi air mata, hentikan aliran air mata itu dan berikan kenikmatan kepada kedua bola mata mu. Tenanglah, kerana kita berhak mendapat perlindungan diri Sang Pencipta dan pemeliharaan dari kebijaksanaan Nya. Tenanglah qadha telah selesai, kebijaksanaan telah dirumuskan, rintangan sudah dapat dihilangkan, otot-otot kekuatan sudah kembali segar, dan pahala telah ditetapkan bagi yang terus berusaha.

Tenanglah, kerana kita sedang berurusan dengan Zat Yang Berkuasa atas urusan Nya, yang Maha Bijaksana atas hamba-hamba Nya, yang Maha Pengasih terhadap makhluk Nya, dan yang Maha Indah dalam segala pengaturan Nya.

Tenanglah, kerana akhir dari perjalanan itu adalah kebaikan, hasilnya adalah ketenangan dan penutupnya adalah kemuliaan.


Renungan:

Plato mengatakan:

“Kesusahan itu akan memperbaiki jiwa sebanding dengan kehidupan yang dirosaknya. Sedangkan kesenangan akan merosak jiwa sebanding dengan kehidupan yang diperbaikinya.”

“Peliharalah jalinan persahabatan dengan setiap teman yang memberikan kesusahan kepadamu dan berhati-hatilah terhadap setiap teman yang memberikan kesenangan kepadamu.”

“Kesenangan itu laksana malam, kerana tiada yang boleh meramalkan apa yang ada di dalamnya dan apa yang diperoleh darinya. Sebaliknya, kesusahan itu laksana siang, kerana anda melihat dengan jelas apa yang anda usahakan dan apa yang diusahakan oleh orang lain.”

Azdasyir mengatakan:

“Kesusahan itu bagaikan celak yang dengannya anda dapat melihat sesuatu yang tidak dapat anda lihat dengar kenikmatan.”

“Ada dua sikap yang boleh dijadikan sebagai kekuatan agar seseorang mampu meraih manfaat dari kesusahan yang menimpanya;

1. Sikap yang paling ringan iaitu memiliki kekuatan hati untuk menerima setiap kesusahan yang menimpanya.

2. Sikap yang sangat berat iaitu mampu menyerahkan sepenuhnya (tafwidh) atas kesusahan yang dihadapinya kepada Zat Yang Maha Menguasai dirinya dan Yang Maha Memberi rezeki kepadanya.”

Jika fikiran seseorang itu telah mantap terhadap Penciptanya, maka dia akan tahu bahawa Allah s.w.t, tidak mengujinya kecuali bahawa ujian itu akan mendatangkan kebaikan baginya berupa pahala dan penghapusan dosa. Dengan demikian ia akan menyedari bahawa dirinya mendapat keuntungan dan faedah yang terus-menerus dari Allah s.w.t.

Namun sebaliknya, apabila fikirannya disandarkan kuat pada selain dari Allah s.w.t, tentu akan banyak keburukkan yang menimpanya dan semakin bertambah sikap kepura-puraannya. Dia akan merasa bosan terhadap setiap keadaan yang dilaluinya, kerana menurut perkiraannya perkara itu akan berlangsung dalam waktu yang singkat. Dia merasa terlalu lama dengan ujian yang menimpanya, yang diharapkan akan segera berakhir. Dia takut dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan padahal belum tentu ia menimpanya.

Munajat itu dikatakan benar bila dilakukan diantara seorang hamba dengan Tuhannya kerana dia sedar bahawa ada sesuatu yang sangat rahsia dan dia percaya terhadap apa yang dikatakan oleh kata hatinya. Sedangkan munajat yang dilakukan antara seseorang dengan sesamanya lebih sering menyakitkan dan tidak menyentuh kemaslahatan.

Allah s.w.t memiliki rahmat yang diberikan ketika seseorang hampir putus asa darinya. Rahmat itu akan diberikan kepada sesiapapun yang Dia kehendaki. Hanya kepada Allah tempat memohon segala kelapangan dan kemudahan dalam segala urusan diajukan. Hanya kepada Allah Zat yang Maha Mengabulkan permohonan dikembalikan. Sesungguhnya cukuplah Allah s.w.t sebagai sebaik-baik penolong dan sebaik-baik pelindung.

Buku karya At-Tanukhi yang berjudul ‘Al-Farj Ba’dasy Syiddah’ ada menyebutkan;

Pertama:
Adanya jalan keluar setelah kesusahan adalah merupakan sunnatullah yang telah berlangsung lama dan merupakan kepastian yang telah lama diterima secara umum. Contohnya, datangnya Subuh adalah pasti setelah malam hari yang tiada kerugian lagi akan kemunculannya.


Kedua:
Perkara-perkara yang tidak disukai justeru akan banyak memberikan manfaat dan faedah yang lebih bagus dan lebih baik terhadap hamba dalam kehidupan beragama dan keduniaannya, daripada perkara-perkara yang disukai.


Ketiga:
Yang memberikan manfaat dan menolak mudharat sebenarnya adalah Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. Maka, ketahuilah bahawa apa yang akan menimpa diri anda tidak akan menimpa orang lain dan apa yang tidak akan menimpa diri anda tidak akan pernah menimpa.



No comments:

Post a Comment