IsI dan KuLiT

Apapun di dalam dunia ini, dan kehidupan kita, ianya ibarat isi dan kulit di mana saling memerlukan. Jadilah seperti kulit yang melindungi sang isi yang baik, manis, cantik dan sang isi yang menggembirakan semua orang......

Wednesday, June 29, 2011

300 tenaga pengajar AS bantu tingkat kemahiran BI: Muhyiddin

300 tenaga pengajar AS bantu tingkat kemahiran BI: Muhyiddin
Daripada Norhayati Md Said

2011/06/29

WASHINGTON: Seramai 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat akan membantu kerajaan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris pelajar di negara ini menerusi program Fulbright, mulai tahun depan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia adalah kesinambungan pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini.
Bagi peringkat awal, pegawai kanan AS yang dalam pertemuan Muhyiddin berjanji menghantar 50 pengajar mulai Januari tahun depan dan ditambah secara berperingkat.
"Program ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah membantu Kementerian Pelajaran meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar," katanya pada sidang media, di sini. 

Muhyiddin berkata, program menghantar tenaga pengajar sukarela itu sudah lama dilaksanakan AS dan ditanggung oleh negara itu tetapi bagi program di Malaysia, kerajaan akan turut memberi peruntukan RM1.4 juta bagi memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar itu. 

Katanya, program ini tidak akan mengganggu kurikulum pengajaran Bahasa Inggeris sedia ada sebalik mereka akan mengambil masa luar sekolah dengan menggunakan teknik pembelajaran menyeronokkan. 

"Kita akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MOU) bagi program berkenaan dan diharap dapat dilakukan sebelum hujung tahun. 
"Tenaga pengajar ini akan diberikan orientasi supaya mereka dapat mengenali adat resam dan budaya rakyat Malaysia sebelum ditempatkan di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak serta dipantau seorang penyelia," katanya. 

Muhyiddin berkata, Terengganu sebenarnya sudah memulakan program berkenaan di negeri itu dan setakat ini maklum balas yang diberikan amat memberangsangkan sama ada daripada pelajar mahupun guru berkenaan. 

"Pelajar sangat gembira dan lebih mudah menguasai Bahasa Inggeris manakala guru-guru terbabit pula sangat bersungguh-sungguh. Setakat ini Terengganu sudah melaksanakan 17 program seumpama itu. 

"Kejayaan itu mungkin kerana teknik yang mereka ajar lebih menyeronokkan. Berikutan itu,kerajaan tidak akan mengadakan lagi projek printis dan akan terus meletakkan tenaga pengajar itu di sekolah yang akan dikenal pasti," katanya. 

No comments:

Post a Comment